Tuesday, December 15, 2009

Mari kita bersahabat....


Sahabat sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Dengan sahabat kita bersuka-ria dengan dia jualah kita berkongsi duka. Sedikit sebanyak pergaulan antara sahabat-sahabat memberi pengaruh di dalam pembentukan akhlak seseorang. Namun, nasihat saya di sini, bijaklah memilih kawan kerana

Rasullah bersabda :

" Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian sama ada dia memberimu sedikit, ataupun kamu membeli daripadanya sedikit, ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi, sama ada dia membakar bajumu, atau pun kamu mencium daripadannya bau-bau busuk."

[ Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dari hadith di atas, kita jadikan panduan dalam memilih sahabat yang baik untuk bergaul. Carilah teman seperti penjual wangi-wangian agar kita dapat merasai kewangian atau kemanisan dirinya.

Allah S.W.T telah berfirman di dalam Al-Quran :

" Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang-orang yang menyeru Tuhannnya di waktu pagi dan petang dan mengharap keredhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka(kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampui batas."
( Surah al-Kahfi : 28)

Meskipun begitu, anjuran supaya bergaul dengan orang-orang soleh tidak bererti harus menjauhkan diri dari pergaulan dengan orang-orang yang buruk pekerti dan orang-orang jahil, kerana hal ini boleh menimbulkan prasangka bahawa umat Islam menganut ajaran yang membeza-bezakan di antara sesama manusia. Untuk menghindarkan prasangka tersebut, setiap muslim hendaklah dapat menempatkan dirinya serta mengukur kekuatan imannya di dalam pergaulan masyarakat.

Mereka yang beranggapan bahawa dirinya mudah terpengaruh dengan hal-hal berlaku di dalam masyarakat, terutama yang bersikap negatif kerana masih lemah iman, sebaik-baiknya hendaklah menjauhkan diri dari bergaul dengan orang-orang jahat dan buruk pekerti kerana dikhuatiri akan berubah perilakunya sesuai dengan perilaku orang-orang jahat dan buruk budi pekertinya. Mereka wajib bergaul dengan orang-orang soleh dan para ulama untuk memperbaiki akhlak dan meningkatkan keimanan.

Sebaliknya, orang yang dianggap mampu, bahkan kuat menghadapi pengaruh-pengaruh negatif yang timbul dalam pergaulan kerana kekuatan iman yang mendalam sebaik-baiknya janganlah mengasingkan diri dari bergaul dengan orang yang buruk akhlak atau orang-orang kurang pandai. Bahkan jika boleh hendaklah selalu mendekati mereka dengan tujuan untuk menarik mereka menuju ke arah yang benar sesuai dengan tuntutan Islam. Jadi, matlamat bergaul dengan mereka adalah berdakwah sehingga mereka benar-benar sedar dan mengikuti jejaknya.

No comments:

Post a Comment